Monday, May 14, 2018

Cinta Luar Biasa

Assalammualaikum .

Hening malam ini buat aku ingin meluahkan sesuatu, seperti selalu seperti biasa dan seperti sebelumnya. Meluahkan dan menceritakan adalah perkara yang sering aku lakukan tatkala hati ingin berkata sesuatu. Tatkala ia ingin meluahkan yang terbuku di benak ini. Hanya blog ini akan menjadi diari dan juga rutinku setiap hari. Hanya di blog ini juga aku meluahkan rasa hati yang kerdil ini. 

Cinta .

Cinta adalah keperluan setiap manusia. Setiap manusia ingin mencintai dan dicintai. Sejauh mana kita mencintai dan sejauh mana juga kita dicintai. Cinta juga punya ranking yang tersendiri. Bagaimana kita meletakkan ranking itu sendiri menjadi tunggak ke mana cinta itu pergi, 
Cinta sesama makhluk seringkali membahagiakan dan juga seringkali mengecewakan.
Andai kita terlalu melebihi cinta sesama makhluk, maka Allah akan uji cinta itu. 
Jika kita meletakkan kedudukan cinta makhluk kita lebih daripada cinta kita kepada Allah dan Rasulullah, kita akan diuji dengan emosi, wang ringgit, kesedihan serta kesunyian. 
Dengan ujian sedemikianlah yang membuatkan kita mencari cinta sebenar. Yang membuatkan kita mencari cinta luar biasa iaitu Cinta Allah S.W.T. dan Cinta Rasulullah s.a.w.

Cinta Luar Biasa .

Aku mengejar cinta Yusuf, Allah menjauhkannya daripadaku. Aku terlalu mengharapkannya, Allah menguji aku dengan pelbagai ujian. Aku terlalu menyayangi dan mencintainya, Allah membiarkan aku rasa kesunyian dan kesedihan, Aku terluka kerana menginginkan cintanya, Allah memperlihatkan satu persatu kebenaran. Aku menderita. Aku merasakan Yusuf semakin jauh dari hati dan kehidupan harianku. Aku melihat Yusuf berubah sedikit demi sedikit, aku merasakan Yusuf tidak memerlukan aku lagi di dalam hidupnya. Hanya kerna mungkin Yusuf sudah memiliki bahagianya sendiri, hanya kerna mungkin Yusuf tidak lagi melihat aku di hadapannya. Hatiku sayu, hatiku pilu.
Aku mengejar cinta Yusuf hinggakan hatiku menjadi kosong. Hatiku terasa sangat kecewa, hatiku rasa sunyi, hatiku terasa sepi, hatiku terasa sedih yang teramat sangat, seolah-olah hidup sudah tidak
 ada lagi makna. Semua rasa seperti tawar dan tiada pahit manisnya lagi. 

Subhanallah . 

Rupa-rupanya itu adalah turning point yang sangat baik dalam kehidupan aku. Ia adalah titik tolak kepada perubahan yang besar untuk aku meraih dan mengejar cinta yang sewajarnya iaitu Cinta kepada Allah S.W.T dan cinta kepada Rasulullah s.a.w. sehingga tiada lagi kekecewaan itu, kesunyian itu, kekosongan itu dan juga kesedihan itu. Sampai satu masanya nanti, aku akan mensyukuri segala nikmat itu dan aku merasakan ketenangan yang teramat sangat ketika ini. Aku tidak lagi terlalu bergantung kepada Yusuf tetapi aku hanya bergantung harapan kepada Illahi. Aku merasakan kelapangan hati tatkala perasaan itu hadir. Aku melihat segalanya di sudut yang berbeza dan ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Syukur alhamdulilah. 
Aku sentiasa meletakkan Yusuf di dalam sujud dan doaku agar Allah menjaga dan melindungi dia untukku. Aku tidak punya kuasa dan aku juga tidak dapat melihat apa yang dilaluinya, namun aku yakin Allah memeliharakan dia untukku. Aku yakin dan percaya tentang keagungan dan kekuasaan-Mu, Ya Allah. Kau tetapkanlah niatku ini, Kau yakinkanlah hati ini agar sentiasa mengharapkan-Mu. Amin ya rabbal alamin.

Selamat Malam . 


Love, fnayzd ❤